Pencarian

Custom Search

Suara Terpinggir di Celah-celah Kemiskinan Dalam Laskar Pelangi: Satu Kajian Subaltern

Oleh:
Lt. Abdul Jalil Ramli (Centre for Communication Skills and Entrepreneurship, Universiti Malaysia Perlis, Perlis, Malaysia)
Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (School of Humanities, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia)

Pengenalan

Perkembangan karya kesusasteraan di Indonesia kebelakangan ini cukup pesat, baik filem ataupun novel. Selama ini pula, novel-novel yang bertemakan percintaan seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Perempuan Berkalung Serban dan sebagainya mendapat sambutan hangat di pasaran, namun kehadiran novel Laskar Pelangi di pasaran dengan temanya yang berlainan telah berjaya menobatkan novel tersebut ke persada novel yang paling popular di Indonesia. Novel Laskar Pelangi telah diulang cetak hingga lebih daripada 22 cetakan dan turut diadaptasi ke layar perak dengan judul yang sama pada tahun 2008.
Laskar Pelangi merupakan sebuah novel karya Andrea Hirata, yang mengambil ,‘setting’ zaman 70-an. Novel ini dipenuhi kisah tentang golongan terpinggir dan kisah perjuangan hidup yang mengharukan, serta keindahan persahabatan yang menyelamatkan hidup manusia, dengan latar belakang sebuah pulau indah yang pernah menjadi salah satu pulau terkaya di Indonesia. Novel ini menampilkan kehidupan 10 anak dari keluarga miskin yang bersekolah di sebuah sekolah Muhammadiyah di pulau Belitong yang penuh dengan keterbatasan namun keterbatasan yang ada bukan membuat mereka putus asa tetapi membuat mereka terpacu untuk dapat melakukan sesuatu yang lebih baik.
Mereka, anggota Laskar Pelangi terdiri daripada, Ikal, Lintang, Mahar, A. Kiong, Syahdan, Kucai, Borek, Trapani, Harun dan Sahara. Mereka bersekolah dan belajar di kelas yang sama dari kelas 1 SD hingga kelas 3 SMP dan mengelar diri mereka sebagai Laskar Pelangi. Pada bahagian akhir cerita, anggota Laskar Pelangi bertambah seorang anak perempuan yang bernama Flo.
Novel Laskar Pelangi ini juga merupakan pengalaman pengarangnya sendiri dan cerminan masyarakat pulau Belitong. Cerita yang bertemakan pendidikan tersebut telah memberikan kesan dan pengajaran untuk pembacanya. Laskar Pelangi merupakan novel yang sangat mengharukan tentang dunia pendidikan dengan tokoh-tokoh manusia sederhana, jujur, tulus, gigih, penuh dedikasi, sabar, tawakal, dan mengajar dengan cinta yang diperlihatkan kepada pembaca secara indah dan cerdas

Struktur Sosial dan Ekonomi Masyarakat Pulau Belitong
Novel Laskar Pelangi dipenuhi kisah tentang keadaan sosial dan ekonomi masyarakat pulau Belitong. Mereka adalah golongan miskin dan terpinggir daripada memperolehi pendidikan yang sewajarnya. Masyarakat pulau Belitong terlibat dalam bidang pertanian, nelayan dan juga perlombongan timah. Di pulau Belitong wujud tembok pemisah yang menempatkan sekelompok masyarakat elit yang merupakan pekerja yang berjawatan tinggi dalam perlombongan timah iaitu PN Timah. Mereka adalah “orang staf” yang merupakan panggilan masyarakat Belitong kepada golongan elit tersebut. Penempatan mereka ini dikenali sebagai Gedong yang merupakan sebagai land mark Belitong.
Mereka ini mempunyai status pendidikan yang tinggi dan kemudahan asas yang disediakan di Gedong adalah lengkap. Suasana persekitaran di dalam kawasan tersebut umpama berada di negara Eropah dan golongan masyarakat elit ini juga terpisah dengan penduduk Belitong kerana wujudnya tembok tersebut. Sedangkan di luar sahaja daripada tembok tersebut, tinggallah sebahagian besar penduduk pulau Belitong yang terdiri daripada petani, pekerja bawahan PN Timah, nelayan, peniaga kecil dan sebagainya.
Masyarakat Belitong di luar tembok tersebut tidak begitu mementingkan pendidikan sebagai sesuatu yang boleh merobah taraf kehidupan mereka. Bagi golongan ini, mereka lebih mementingkan pekerjaan seharian yang memberikan sumber pendapatan utama untuk menyara diri dan keluarga. Ini mungkin kerana mereka sejak turun-temurun mewarisi pekerjaan daripada nenek moyang terdahulu. Justeru itu, wujud jurang perbezaan status dan kelas yang amat nyata antara masyarakat Gedong dan penduduk yang tinggal di luar tembok tersebut. Wujudnya jurang tersebut sudah tentu akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap corak kehidupan masyarakat pulau Belitong.
Sebagai sebuah pulau yang kaya dengan galian terutama bijih timah, pulau tersebut pada zaman kolonial telah menjadi rebutan penjajah Inggeris dan Belanda. Selama berada di bawah kekuasaan dua negara kolonial kelas satu dunia ini, nasib Bangka Belitong sangat mengharukan. Timah digali secara besar-besaran tanpa mempertimbangkan nasib kaum pribumi dan masyarakat tempatan. Kecurangan, pemerasan dan eksploitasi yang melampaui batas telah menimbulkan jurang perbezaan kelas yang amat ketara dalam masyarakat pulau Belitong. Selepas zaman penjajahan, aktiviti perlombongan timah dikuasai oleh syarikat Perusahan Negara (PN) Tambang Timah sehinggalah ke hari ini. Apa yang pasti dasar-dasar yang pernah dilakukan pada zaman penjajahan dulu, masih diteruskan oleh PN Timah sebagai sebuah gergasi perlombongan timah di Indonesia.

“Sejak zaman penjajahan, sebagai platform infrastruktur ekonomi, PN tidak hanya memonopoli faktor produksi terpenting tapi juga mewarisi mental bobrok feodalistis ala Belanda. Sementara seperti sering dialami oleh warga pribumi di mana pun yang sumber daya alamnya dieksploitasi habis-habisan, sebahagian komunitas di Belitong juga termarginalkan dalam ketidakadilan kompensasi tanah ulayah, persamaan kesempatan, dan trickle down effects.”
(Laskar Pelangi : 40)

Dengan wujudnya jurang perbezaan status antara yang elit dan terpinggir, perbincangan ini akan mengupas sejauhmana suara golongan orang terpinggir (subaltern) mampu bersuara dan adakan suara golongan tersebut didengari dan apakah yang dilakukan oleh golongan tersebut bagi merobohkan jurang perbezaan status dalam masyarakat pulau Belitong sebagaimana yang digarap oleh pengarang dalam Laskar Pelangi.

Suara Subaltern dalam Laskar Pelangi
Laskar Pelangi memperlihatkan kepada pembaca wujudnya perbezaan kelas yang nyata antara yang kaya dan miskin atau yang elit dan subaltern. Golongan elit sentiasa menikmati dunia kehidupan yang lebih baik dalam apa jua perkara berbanding dengan masyarakat terpinggir yang sentiasa tercicir dalam arus perdana. Golongan terpinggir ini pula mewarnai sebahagian besar masyarakat pulau Belitong yang tertinggal dalam arus pendidikan perdana. Mereka tertumpu kepada pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil bagi menampung kehidupan keluarga dan golongan ini bukan tidak melihat pendidikan sebagai sesuatu yang penting bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka tetapi kerana faktor kemiskinan dan atas desakan hidup yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai kehidupan keluarga maka pendidikan bukan sesuatu yang utama kepada golongan ini, sebaliknya bekerja bagi mendapatkan wang adalah lebih utama daripada belajar.

“Bu Mus menghampiri ayah Lintang. Pria itu berpotongan seperti pohon cemara angin yang mati karena disambar petir: hitam, meranggas, kurus dan kaku. Beliau adalah seorang nelayan, namun pembukaan wajahnya yang mirip orang Bushman adalah raut wajah yang lembut, baik hati, dan menyimpan harap. Beliau pasti termasuk dalam sebagian besar warga negara Indonesia yang menganggap bahwa pendidikan bukan hak asasi.” (Laskar Pelangi : 10)

Bagi golongan terpinggir yang kedungguan ilmu pengetahuan, mereka beranggapan bahawa memberikan pendidikan itu bukan sebagai satu tanggungjawab pihak pemerintah sebagaimana tanggungjawab pemerintah terhadap menjaga keselamatan rakyatnya. Kemiskinanan dan kemelaratan hidup membuatkan mereka lebih mengutamakan soal bagaimana untuk mendapatkan rezeki seharian bagi menyara kehidupan diri dan keluarga daripada memikirkan pendidikan anak-anak. Adalah lebih baik menyuruh anak-anak mereka bekerja bagi mendapatkan wang daripada menghantar anak ke sekolah kerana pada tanggapan mereka, akhirnya anak mereka akan jadi ‘kuli’ seperti mereka juga.

“Yang ada di kepala kami, dan di kepala setiap anak kampung Belitong adalah jika selesai sekolah lanjutan pertama atau menengah atas kami akan mendaftar menjadi tenaga langkong (calon karyawan rendahan di PN Timah) dan akan bekerja bertahun-tahun sebagai buruh tambang lalu pensiun sebagai kuli.”
(Laskar Pelangi : 344)

Golongan terpinggir ini lebih suka menerima sahaja akan nasib yang telah ditentukan, mereka tidak bersuara tetapi menerima segala-galanya yang telah ditakdirkan untuk mereka. Bersuara ataupun memberikan reaksi dan tindakbalas dianggap sebagai usaha yang sia-sia sahaja kerana nasib golongan terpinggir ini seringkali terabai dan tidak dipedulikan. Tambahan pula mereka tetap tidak mempercayai dengan menyekolahkan anak mereka akan dapat mengubah nasib mereka. Golongan terpinggir ini memiliki pemikiran yang tertutup tentang kepentingan pendidikan, ini kerana pemikiran mereka sudah dikuasai oleh golongan berkuasa semenjak zaman kolonialisme lagi. Subaltern atau orang terpinggir adalah satu kelompok minoriti dalam institusi masyarakat yang menjadi subjek hegemoni kepada kelompok manusia yang berkuasa. Premis pemikiran yang bertunjangkan kepada kajian subaltern difokuskan kepada golongan inferior , marginal dan berstratafikasi sosial yang rendah sebagaimana yang telah digagaskan oleh Antonio Gramsci (1971).

….the term “subaltern” designates nonelite or subordinated social groups
(dalam Landry and Mac Lean, 1996:203)

Masyarakat pulau Belitong yang tidak berpendidikan tinggi, akhirnya mewarnai corak kehidupan di Belitong sebagai pekerja kelas bawahan di PN Timah, nelayan, petani dan hidup mereka hari demi hari melakukan rutin yang sama dalam pekerjaan mereka. Keadaan ini menyebabkan taraf hidup mereka tidak berubah dan yang pasti sebagai golongan terpinggir mereka menerima semua itu seadanya sahaja dan tidak mahu bersuara bagi memperolehi kehidupan yang lebih baik. Walaupun golongan ini sebenarnya boleh bersuara sebagaimana yang diperjuangkan oleh Ranajit Guha dan rakan-rakannya dalam kumpulan ‘Subaltern Studies’ di India..
Perbezaan Kelas Dalam Masyarakat Pulau Belitong dan Kesannya
Pulau Belitong merupakan sebuah pulau yang paling banyak menghasilkan galian timah di Indonesia dan dianggap pulau terkaya di Indonesia namun kebanyakan penduduknya adalah mereka yang miskin ataupun dalam kelompok kelas sederhana. Adalah sesuatu yang pelik kerana pulau Belitong melimpah ruah hasil kekayaan bijih timah dan galian yang lain tetapi penduduknya miskin dan terpinggir daripada mendapat manfaat hasil kekayaan tersebut. Ini digambarkan dalam petikan berikut :
“…….. bahkan kami memiliki sumber tenaga nuklear: uranium yang kaya raya. Semua ini sangat kontradiktif dengan kemiskinan turun temurun penduduk Melayu Belitong yang hidup berselerakan di atasnya. Kami seperti sekawanan tikus yang paceklik di lumbung padi.”
(Laskar Pelangi : 39)
Perbezaan antara yang elit dengan yang terpinggir begitu ketara di sebalik tembok pemisah yang wujud di Belitong itu. Ini dijelaskan dengan begitu teliti oleh pengarangnya dalam petikan berikut :

“Persis bersebelahan dengan toko-toko kelontong milik warga Tionghoa ini berdiri tembok tinggi yang panjang dan di sana sini tergantung papan peringatan “DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK”. Di atas tembok ini tidak hanya ditancapi pecahan-pecahan kaca yang mengancam tapi juga dililitkan empat jalur kawat berduri seperti di kamp Auschwitz. Namun tidak seperti Tembok Besar Cina yang melindungi berbagai dinasti dari serbuan suku-suku Mongol dari utara, di Belitong tembok yang angkuh dan berkelak-kelok sepanjang kiloan meter ini adalah pengukuhan sebuah dominasi dan perbedaan status sosial.”
(Laskar Pelangi : 36)

Tembok yang dimaksudkan itu disebut Gedong yang disebalik tembok itu terdapat sebuah kawasan penempatan bagi golongan elit atau pegawai-pegawai utama Perusahan Negara Timah (PN Timah), iaitu syarikat gergasi yang memonopoli kegiatan perlombongan timah di pulau Belitong.

“Mereka, kaum borjuis ini bersemayam di kawasan eksklusif yang disebut Gedong. Mereka seperti orang-orang kulit putih di wilayah selatan Amerika pada tahun 70-an.”
(Laskar Pelangi : 42)

PN amat kaya dengan memiliki pelbagai perusahaan seperti pelabuhan, jambatan, jalan raya dan sebagainya. Terdapat seramai 14000 orang pekerja PN di pulau Belitong. Ini menjadikan PN sangat berkuasa dan berpengaruh di pulau tersebut.

“Di sebalik tembok itu terlindung sebuah kawasan yang disebut Gedong, yaitu negeri asing yang jika berada di dalamnya orang akan merasa tak sedang berada di Belitong, dan di dalam sana berdiri sekolah-sekolah PN. Sekolah PN adalah sebutan untuk sekolah milik PN (Perusahan Negara) Timah, sebuah perusahaan yang paling berpengaruh di Belitong, bahkan sebuah hegemoni lebih sepatutnya karena timah adalah dengut nadi pulau kecil itu.”
(Laskar Pelangi : 36)

Gambaran yang dipaparkan oleh pengarang memperlihatkan bagaimana golongan elit berada dalam suatu kawasan petempatan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan asas berbanding dengan golongan masyarakat tempatan yang tinggal di luar dari tembok tersebut yang hidup dalam serba kekurangan. Mereka yang berada di luar tembok tersebut adalah golongan terpinggir yang melihat keadaan sosial yang tidak berimbang itu. Semenjak dahulu keadaan sosial ini diterima begitu sahaja sehingga menimbulkan rasa rendah diri. Keadaan ini nyata apabila mereka percaya tidak berfaedah menghantar anak ke sekolah kerana anak itu akan akhirnya berkerja sebagai kuli di PN. Kehidupan terpinggir ini telah dialami semenjak zaman kolonial Belanda lagi dan diteruskan oleh golongan kapitalis yang telah mengeksplotasi kekayaan pulau Belitong dan bertindak ala penjajah Belanda.
Masyarakat pulau Belitong ini hidup dalam kelas sosial yang berkasta-kasta, ini didahului oleh pegawai tinggi di PN Timah yang juga digelar ‘orang staf’. Golongan ini mempunyai sikap memandang rendah kepada penduduk Belitong khususnya orang Melayu yang dianggap pemalas dan mereka orang staf amat bangga dengan kedudukan mereka sebagai pekerja di sektor timah dan bukan sebagai petani. Ini adalah gambaran perbezaan kelas dan status antara golongan elit dan terpinggir yang diperlihatkan melalui kawasan petempatan penduduk itu sendiri. Pernyataan tersebut diperkukuhkan lagi dengan petikan berikut :

“Di luar tembok feodal tadi berdirilah rumah-rumah kami, beberapa sekolah negeri, dan satu sekolah kampung Muhammadiyah. Tak ada orang kaya di sana, yang ada hanya kerumunan toko miskin di pasar tradisional dan rumah-rumah panggung yang renda dalam berbagai ukuran. Rumah-rumah asli Melayu ini sudah ditinggalkan zaman keemasannya. Pemiliknya tak ingin merubuhkannya karena tak ingin berpisah dengan kenangan masa jaya atau karena tak punya uang.” (Laskar Pelangi : 50)

Perbezaan kelas yang wujud itu juga dapat dilihat melalui kemudahan pendidikan yang terdapat di pulau Belitong khususnya yang berada di kawasan Gedong berbanding yang di luarnya. Bagi mereka yang dapat bersekolah di Gedong yang mempunyai pelbagai kemudahan pendidikan yang sempurna sudah tentu terdiri daripada golongan elit ataupun sekurang-kurangnya mereka adalah orang staf. Manakala di luar tembok Gedong itu hanya terdapat beberapa buah sekolah negeri dan sebuah sekolah Muhamaddiyah yang merupakan sekolah kampung persendirian.

“Kami bertetangga dan kami adalah orang Melayu Belitong dari sebuah komunitas yang paling miskin di pulau itu. Adapun sekolah ini, SD Muhammadiyah, juga sekolah kampung yang paling miskin di Belitong.”
(Laskar Pelangi : 4)

Sekolah Muhammadiyah menjadi pilihan golongan terpinggir kerana sekolah tersebut tidak menetapkan yuran yang khusus sekadar kemampuan ibu bapa sahaja, selain itu sekolah tersebut juga memberikan pendidikan Islam dari kecil dan kebanyakan anak golongan terpinggir tidak diterima belajar di sekolah lain kerana faktor kemiskinan. Walaupun masyarakat Belitong miskin dan Sekolah Muhammadiyah juga daif tetapi penduduk pulau Belitong ini tidak melihat keadaan sebegini sebagai sesuatu yang asing sebaliknya menerima keadaan sosial ini sebahagian daripada resam kehidupan di situ. Ini menambahkan lagi jurang perbezaan antara yang elit dengan yang terpinggir. Dalam situasi tersebut, menyekolahkan anak bagi yang terpinggir bukanlah merupakan sesuatu yang penting kerana mereka beranggapan anak mereka tidak akan sampai ke mana jua dan akhirnya terpaksa juga mewarisi pekerjaan ibu bapa juga.

“Kasihan ayahku….”. Maka aku tak sampai hati memandang wajahnya. “ Barangkali sebaiknya aku pulang saja, melupakan keinginan sekolah, dan mengikuti jejak beberapa abang dan sepupu-sepupuku, menjadi kuli…”
(Laskar Pelangi : 3)

Perbezaan kelas yang begitu ketara antara sekolah Muhammadiyah dengan sekolah PN merupakan sesuatu yang sering dialami oleh golongan terpinggir. Taraf kehidupan di sekolah PN memang terserlah kerana sekolah tersebut dibiayai sepenuhnya oleh PN Timah yang kaya raya..

“Murid PN umumnya anak-anak orang luar Belitong yang bapaknya menjadi petinggi di PN. Sekolah ini juga menerima anak kampung seperti Bang Amran, tapi tentu saja yang orangtuanya sudah menjadi orang staf. Mereka semua bersih-bersih, rapi, kaya, necis, dan pintar-pintar luar biasa. Mereka selalu mengharumkan nama Belitong dalam lomba-lomba kecerdasan, bahkan sampai tingkat nasional. Sekolah PN sering dikunjungi para pejabat, pengawas sekolah, atau sekolah lain untuk melakukan semacam benchmarking, melihat bagaimana seharusnya ilmu pengetahuan ditransfer dan bagaimana anak-anak kecil dididik secara ilmiah.”
(Laskar Pelangi : 59)

Ini menjadikan pelajar di sekolah PN sentiasa ke depan dalam apa jua persoalan pendidikan di pulau Belitong sedangkan golongan terpinggir semakin sukar untuk merobah nasib mereka yang memang telah miskin kerana perbezaan kelas yang nyata dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial menjadikan pemikiran golongan terpinggir tepu dan jauh daripada anjakan kemodenan hidup. Orang terpinggir melihat kehidupan mereka yang melarat sebagai faktor pemisahan kelas dengan golongan elit PN Timah yang hebat dan mewah di sebalik tembok Gedong yang dianggap sebagai tembok masyarakat kelas elit.
Dengan wujudnya perbezaan kelas, sudah pasti ia akan menimbulkan pula kesan akibat daripada jurang perbezaan kelas itu. Antara yang dapat dikenalpasti golongan terpinggir seringkali merasa rendah diri kerana kurang upaya mereka sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial. Golongan terpinggir semakin jauh dan hanyut daripada merebut peluang pendidikan yang merupakan satu alat untuk merobah nasib dan kehidupan mereka. Akibatnya pemikiran mereka menjadi tumpul dan tidak efisyen. Mereka tidak mementingkan pendidikan anak-anak mereka.
Bagi yang bersekolah pula, keyakinan diri sangatlah merudum akibat daripada kekurangan diri akibat kemiskinan dan juga kekurangan kemudahan pendidikan yang sempurna berbanding dengan sekolah PN. Mereka sentiasa mempunyai tanggapan bahawa apa jua pertandingan yang melibatkan sekolah PN sudah pasti kemenangan atau kejuaraan itu akan dimiliki oleh sekolah PN kerana sekolah tersebut biasanya akan mempamerkan peserta yang hebat berbanding sekolah Muhammadiyah yang serba-serbi kekurangan aspek fizikalnya. Melihat peserta sekolah PN dari luarannya sahaja sudah melemahkan semangat juang pelajar sekolah Muhammadiyah Inilah nasib yang sering diterima golongan terpinggir dalam dunia kehidupan sebenar. Perasaan rendah diri menyebabkan mereka tidak mahu bersuara dan kekurangan yang dimiliki menyebabkan ada kalanya jika mereka bersuara, suara mereka tdak akan didengari. Orang terpinggir akan terpencil dalam dunia kemiskinanannya tersendiri.
Golongan terpinggir ini juga tidak mempunyai cita-cita yang tinggi kerana sering merasakan diri mereka kurang berkeupayaan dan ditambah pula sikap ibu bapa yang memang tidak mementingkan pendidikan dalam merencana kehidupan mereka daripada pekerjaan tradisi kepada kerjaya yang lebih baik. Inilah kesan daripada kemiskinanan dan kemelaratan hidup golongan terpinggir.

“Demikianlah karnival kami setiap tahun. Tak melambangkan cita-cita. Mungkin karena kami tak berani bercita-cita. Setiap siswa disarankan memakai pakaian profesi orang tua karena kami tak punya biaya untuk membuat atau menyewa baju karnival. Semuanya adalah wakil profesi kaum marginal.”
(Laskar Pelangi : 221)

Kemiskinan juga memberikan kesan negatif yang mendalam terhadap golongan terpinggir. Hidup mereka sentiasa dipandang rendah dan diperbodoh-bodohkan oleh golongan yang berilmu dan berkedudukan tinggi. Itulah antara punca mengapa orang terpinggir sukar menyuarakan suara mereka, kemiskinan menyebabkan masyarakat memandang sebelah mata terhadap mereka. Orang terpinggir akan terus hanyut dibuai kemiskinan mereka turun-temurun jika takut untuk bangun bersuara. Ini diperlihatkan oleh watak Zulfikar yang mewakili golongan elit dalam berhujah dengan Lintang sebagai anak Muhammadiyah dalam mempertahankan pendapat mereka.

“Tabiat Pak Zulfikar adalah persoalan klasik di negeri ini, orang-orang pintar sering bicara meracau dengan istilah yang tak membumi dan teori-teori tingkat tinggi bukan untuk mnemukan sebuah karya ilmiah tapi untuk membodohi orang-orang miskin. Sementara orang miskin diam terpuruk, tak menemukan kata-kata untuk membantah.”
(Laskar Pelangi : 378)

Penguasaan hasil bumi pulau Belitong oleh PN Timah menjadikan kekayaan di pulau itu tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh penduduk pulau tersebut. Keadaan ini seolah-olah PN Timah sebagai kapitalis yang menindas golongan terpinggir. Akibatnya eksploitasi yang begitu hebat terhadap kekayaan pulau Belitong telah menimbulkan perasaan benci terhadap PN Timah dan menyebabkan berlakunya aktiviti untuk mendapatkan timah secara tidak sah. Aktiviti mendulang timah secara haram dilakukan oleh golongan terpinggir di kawasan tanah tinggi , begitu juga dengan kegiatan penyeludupan yang dilakukan mereka menggunakan jalan laut . Semuanya ini memperlihatkan protes masyarakat tertindas yang selama ini hanya mampu melihat sahaja hasil kekayaan pulau Belitong dikaut dengan rakus oleh PN Timah. Akibatnya, PN Timah telah bertindak dengan begitu kejam ke atas mereka itu jika tertangkap , mereka bertindak bagaikan undang-undang rimba tanpa ada perasaan belas kasihan dan perikemanusiaan. Mereka akan ditembak oleh polis atau pengawal PN Timah.
Inilah nasib golongan terpinggir yang sentiasa ditindas oleh golongan elit dan inilah realiti kehidupan di pulau Belitong, yang memperlihatkan yang kaya dan berkuasa sentiasa mengambil kesempatan ke atas golongan yang lemah dan miskin. Suara golongan terpinggir semakin sepi dan tenggelam dalam dunia kekuasaan orang berada.

Bagaimana Golongan Terpinggir Bersuara
Dalam keterpinggiran golongan miskin di pulau Belitong terdapat juga segelintir anak-anak pulau Belitong yang miskin harta tetapi kaya dengan keazaman dan cita-cita untuk mengubah nasib masa hadapan mereka seperti pengarang sendiri, Lintang dan Mahar serta anggota Laskar Pelangi. Ini dapat dilakukan dengan adanya bimbingan dan tunjuk ajar daripada warga pendidik yang dedikasi seperti Bu Mus dan Pak Harfan. Kanak-kanak ini tidak mahu mewarisi dunia pekerjaan dan kemiskinan ibu bapa mereka yang seolah-olah sudah menjadi tradisi sejak turun-temurun lagi. Mereka mahu menjadi masyarakat Belitong yang lebih baik taraf hidup, dan setanding ‘orang staf’ di PN Timah. Apa yang lebih penting lagi , mereka tidak mahu lagi dihina, dipandang rendah dan diperbodohkan oleh masyarakat elit kerana kemiskinan yang diwarisi akibat kedangkalan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Hanya melalui pendidikan, mereka akan dapat meruntuhkan tembok sosial yang begitu tebal di pulau Belitong. Namun, semuanya ini memerlukan cita-cita dan keazaman yang kuat dan disertai oleh usaha yang gigih, semangat yang kental dan kemahuan yang menggunung tinggi. Pendidikan dilihat sebagai wadah atau alat yang ampuh yang dapat digunakan untuk golongan terpinggir meningkatkan taraf sosial mereka setanding dengan golongan elit.
Kegigihan dan kededikasian Pak Harfan dan Bus Mus mengabadikan diri kepada sekolah Muhammadiyah bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak Belitong yang daif dan miskin merupakan satu usaha murni yang cuba memberikan kekuatan kepada golongan terpinggir bersuara. Pak Harfan misalnya sanggup memberikan peluang kepada Mahar untuk menggunakan daya kreativitinya dalam pertandingan kebudayaan. Beliau begitu yakin untuk menyerlahkan bakat dan potensi anak didiknya walaupun dia sedar akan kekangan kewangan sekolah Muhammadiyah tetapi semuanya itu tidak pernah mematahkan semangat juang beliau untuk menyediakan pentas bagi wira-wira sekolah Muhammadiyah meneruskan perjuangan golongan terpinggir.

“Kita harus karnaval! Apa pun yang terjadi! Dan biarlah tahun ini para guru tidak ikut campur, mari kita beri kesempatan kepada orang-orang muda berbakat seperti Mahar untuk menunjukkan kreativitasnya, tahukah kalian … dia adalah seniman yang genius!”
(Laskar Pelangi : 222)

Begitu juga dengan peranan Bu Mus dalam memartabatkan sekolah dan pelajarnya ke persada kecemerlangan, sanggup berkorban apa sahaja bagi merealisasikan cita-cita tersebut. Kegigihan dan ketabahan beliau mengharungi liku-liku kehidupan bersama anggota Laskar Pelangi telah berjaya meningkatkan kepercayaan diri dan menyerlahkan potensi diri anak-anak didiknya. Beliau begitu gigih berusaha dalam membawa suara golongan terpinggir kepada masyarakat dan seterusnya pula usaha dan kejayaan tersebut dilihat sebagai kemenangan moral golongan terpinggir terhadap kelompok elit khususnya sekolah PN dan sekaligus memadamkan api keegoan golongan elit tersebut. Ini merupakan jalan yang dirintis oleh Bu Mus dalam menyediakan pentas bagi kemunculan wira-wira golongan terpinggir meneruskan perjuangan menyuarakan kewujudan mereka.

“Kami telah dipersiapkan dengan baik oleh Bu Mus. Beliau memang menaruh harapan besar pada lomba ini lebih dari beliau berharap waktu kami karnaval dulu. Bu Mus pontang-panting mengumpulkan contoh-contoh soal dan bekerja sangat keras melatih kami dari pagi sampai sore.”
(Laskar Pelangi : 364)
Novel Laskar Pelangi telah mengajarkan bagaimana caranya mengenyam pendidikan dan menjadikan sekolah agar tetap terbangun dalam keadaan apapun. Laskar Pelangi memiliki simbol keindahan dengan berbagai warna yang menyatu. Keindahan tersebut menggambarkan perjalanan kehidupan para pelajar dan guru-guru di sekolah Muhammadiyah yang selalu ceria dalam membangunkan pendidikan walaupun serba kekurangan. Dengan berbagai karakter para pelajar dan guru-guru serta berbagai hambatan yang membentang, keutuhan kebahagiaan diumpamakan sebagai pelangi.
Bagi golongan terpinggir yang sedar bahawa pendidikan boleh merobah taraf kehidupan mereka sudah pasti peluang tersebut akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Dengan pendidikan mereka mampu menguasai ilmu yang membolehkan mereka merapatkan jurang perbezaan kelas dengan golongan kaya dan terpelajar. Ini dibuktikan oleh bapa Lintang yang menghantar anaknya untuk bersekolah walaupun ia sendiri miskin dan tidak berpelajaran. Tambahan pula jarak rumah mereka dengan sekolah hampir 80 km perjalanan pergi dan balik. Ini memerlukan pengorbanan yang sangat besar oleh seorang ayah dan juga memerlukan semangat yang kental anaknya Lintang dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk mencapai cita-citanya.
“Ayahnya, yang seperti Bushman itu, sekarang menganggap keputusan menyekolahkan Lintang adalah keputusan tepat, paling tidak ia senang melihat semangat anaknya menggelegak. Ia berharap suatu waktu di masa depan nanti Lintang mampu menyekolahkan lima orang adik-adiknya yang lahir setahun sekali sehingga berderet-deret rapat seperti pagar, dan lebih dari itu ia berharap Lintang dapat mengeluarkan mereka dari lingkaran kemiskinan yang telah lama mengikat mereka hingga sulit bernapas.”
(Laskar Pelangi : 95)

Bagi warga sekolah Muhammdiyah pula, walaupun pada peringkat awalnya agar sukar bagi sekolah Muhammadiyah untuk mencuba merobah persepsi negatif masyarakat elit terhadap sekolah tersebut namun dengan adanya semangat yang kental dketuai oleh Bu Mus dan Pak Harfan, sekolah tersebut telah bertekad untuk mengambil bahagian dalam Karnaval 17 Agustus yang merupakan acara tahunan kebudayaan di pulau Belitong. Di sini dilihat bagaimana Pak Harfan berhempas-pulas mempertahankan keputusannya supaya sekolah Muhammadiyah mengambil bahagian dalam karnival kebudayaan itu walaupun terdapat tentangan daripada beberapa orang guru sekolah Muhammadiyah yang lain yang merasa rendah diri kerana penampilan mereka yang daif dalam karnival tersebut setiap tahun. Pak Harfan dan Bu Mus mahu menebus semula nasib sekolah mereka yang sering dipandang rendah dan dihina kerana faktor kekurangan dan kemiskinan. Mereka berdua mewakili golongan terpinggir menyuarakan suara mereka untuk berusaha memenangi pertandingan karnival tersebut supaya diiktiraf setanding dengan kelompok sekolah lain.
Begitu juga dengan watak Mahar, yang telah diberikan satu tanggungjawab besar untuk mencipta persembahan yang unik dan menarik dalam situasi kekangan modal. Namun, Mahar sebagai golongan terpinggir mampu melaksanakan tugasan tersebut dengan jayanya, memperlihatkan bagaimana orang terpinggir mampu bersuara jika ada cita-cita dan usaha yang jitu. Selain daripada tokoh Mahar, watak lain seperti Ikal dan Lintang serta semua anggota Lakar Pelangi telah bersatu hati dan berusaha keras menjalani latihan dan kemuncaknya pada hari karnival telah mempersembahkan tarian yang begitu hebat walaupun sedar akan kekurangan serta terpaksa bersaing dengan sekolah PN yang sememangnya hebat.
Ini memperlihatkan golongan terpinggir berusaha untuk menonjolkan diri mereka dalam masyarakat yang selalu memandang rendah kepada golongan tersebut.

“Karnaval ini adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan kepada dunia bahawa sekolah kita ini masih eksis di muka bumi ini. Sekolah kita ini adalah sekolah Islam yang mengedepankan pengajaran nilai-nilai religi, kita harus bangga dengan hal itu.”
(Laskar Pelangi : 222)

Kehebatan Mahar, Lintang, Ikal dan rakan-rakan Laskar Pelangi dalam membuat satu persembahan kebudayaan yang lain dari kebiasaannya menjadikan sekolah Muhammadiyah muncul sebagai juara kategori kebudayaan dengan mengalahkan sekolah PN yang selama ini menguasai acara tersebut. Jelas memperlihatkan bagaimana usaha yang gigih dan kepercayaan diri yang kental serta kesepaduan semangat dan cita-cita mampu membawa golongan terpinggir ke puncak kejayaan walaupun dari segi fizikalnya mereka adalah kekurangan segala serbinya.

“Hal ini dibuktikan oleh sekolah Muhammadiyah yang mampu mematahkan mitos bahwa sekolah kampung tidak mungkin menang melawan sekolah PN dalam karnaval.”
(Laskar Pelangi : 246)

Kejayaan yang dicapai oleh sekolah Muhammadiyah amat bermakna bukan sahaja kepada pelajar-pelajarnya tetapi yang lebih penting ia membuktikan bahawa golongan terpinggir juga mampu melakukan sesuatu yang hebat jika mereka memiliki kemudahan yang setanding dengan golongan elit. Ini memperlihatkan juga bahawa suara orang terpinggir ini didengari. Kejayaan juga membolehkan status mereka dihormati dan bukan lagi menjadi bahan ejekan dan hinaan.

“Trofi yang telah dua puluh tahun kami idamkan dan selama itu pula bercokol di sekolah PN. Baru pertama kali ini trofi itu dibawa pulang oleh sekolah kampung. Trofi yang tak’kan membuat sekolah kami dihina lagi.”
(Laskar Pelangi : 247)

Nasib golongan terpinggir akan terbela jika mereka mampu menguasai ilmu yang merupakan sesuatu yang sukar dilakukan oleh penduduk pulau Belitong kerana mereka lebih mementingkan pekerjaan bagi mendapatkan sumber rezeki untuk membiayai kehidupan seharian. Mentaliti sebegini sudah pasti akan menjadikan golongan terpinggir semakin hanyut dalam dunia kemiskinan. Namun kesedaran yang dimiliki oleh Bus Mus, Pak Harfan dan anggota Laskar Pelangi merupakan salah satu contoh bagaimana orang terpinggir bangun bersuara membela nasib masa depan mereka. Sikap ini dengan jelas diperlihatkan oleh Bu Mus, guru wanita SD Muhammadiyah yang sangat dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelajar dan sekolah Muhammadiyah.

“Bu Mus melihat lomba ini sebagai media yang sempurna untuk menaikkan martabat sekolah Muhammadiyah yang bertahun-tahun selalu diremehkan. Bu Mus sudah bosan dihina.”
(Laskar Pelangi : 364)

Sikap Bu Mus yang mewakili golongan terpinggir semakin jelas diperlihatkan dalam petikan berikut :-

“Baginya ini adalah peristiwa terpenting selama lima belas tahun karier mengajarnya. Beliau benar-benar menginginkan kami menang dalam lomba ini, karena beliau tahu lomba ini sangat penting artinya bagi sekolah Muhammadiyah. Wajahnya kusut menanggung beban, mungkin beliau telah bosan bertahun-tahun selalu diremehkan.”
(Laskar Pelangi : 369)

Dalam merealisasikan cita-cita untuk memenagi pertandingan kuiz kecerdasan itu, sekali lagi tokoh Ikal, Lintang dan Mahar dipertanggungjawabkan untuk membawa suara golonan terpinggir. Terbukti, Lintang yang sememangnya memiliki kecerdasan yang luar biasa khususnya dalam bidang matematik telah mempamerkan aksi yang sangat hebat dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam pertandingan tersebut .

“Ia tak terbendung, aku merinding melihat kecerdasan sahabatku ini. Peserta lain terpesona dibuatnya. Mereka seperti terbius sebuah kharisma kuat kecerdasan murni dari seorang anak Melayu pedalaman miskin, murid sekolah kampung Muhammadiyah yang berambu kerinting merah tak terawat dan tinggal di rumah kayu doyong beratap daun nun jauh terpencil di pesisir.”
(Laskar Pelangi : 373)

Dengan semangat dan usaha yang gigih,membolehkan golongan terpinggir menyuarakan suara mereka dengan memenangi pertandingan kuiz kecerdasan yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah Muhammadiyah.

“Seperti Mahar, Lintang berhasil mengharumkan nama perguruan Muhammadiyah. Kami adalah sekolah kampung pertama yang menjuarai perlombaan ini, dan dengan sebuah kemenangan mutlak.”
(Laskar Pelangi : 383)

Golongan terpinggir ini juga mampu memberikan reaksi sebagaimana golongan elit dalam membuktikan sesuatu perkara itu benar. Ini dinyatakan oleh pengarang Laskar Pelangi melalui watak Lintang yang berhujah dengan seorang guru dari PN Timah iaitu Drs Zulfikar dalam mempertahankan jawapannya yang dianggap salah sewaktu pertandingan kuiz kecerdasan itu. Jelas golongan terpinggir bersuara dan suara mereka didengari.

“Lintang yang baru sekali ini menginjak Tanjong Pandan, berdiri dengan gagah berani menghadapi guru PN yang arogan jebolan perguruan tinggi terkemuka itu. Sembilan tahun sangat dekat dengan Lintang, baru kali ini aku melihatnya benar-benar muntab, maka inilah caranya orag genius mengamuk.”
(Laskar Pelangi : 381)

Namun, ada watak-watak dalam novel itu juga akhirnya terpaksa menyerah pada kemiskinan. Ada beberapa adegan yang menggambarkan bahwa perjalanan hidup manusia tidak selamanya berjalan lancar, kehidupan manusia telah ditakdirkan oleh Tuhan. Misalnya, watak Lintang yang amat cerdas, tepat empat bulan sebelum menamatkan persekolahannya, dia terpaksa berhenti kerana menyara adik-adiknya setelah bapanya seorang nelayan miskin meninggal dunia.

“Aku merasa amat pedih karena seorang anak supergenius, penduduk asli sebuah pulau terkaya di Indonesia hari ini harus berhenti sekolah karena kekurangan biaya. Hari ini, seekor tikus kecil mati di lumbung padi yang berlimpah ruah.”
(Laskar Pelangi : 432)

Kepintarannya menjadi sia-sia. Sewaktu dewasa, dia hanya menjadi seorang pemandu . Ini merupakan kritikan pengarang terhadap dasar pendidikan di Indonesia yang tidak menjamin hak pendidikan bagi seluruh rakyatnya. Jangankan mendapat sekolah menengah percuma, pendidikan rendah pun tidak bagi anak-anak yang berada di wilayah pedalaman dan belum mendapat pemikiran moden. Kemiskinan dijadikan alasan bagi menghalang kemajuan mereka yang berpotensi walaupun sebenarnya jika agihan kekayaan itu dilakukan dengan adil dan saksama oleh pihak pemerintah dan elit sudah pasti perkara tersebut tidak akan terjadi kepada golongan terpinggir.
Dalam pada itu , kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia telah membawa bencana kepada industri perlombongan bijih timah di pulau Belitong. PN Timah yang selama ini merupakan simbol kekayaan dan status golongan elit terpaksa ditutup. Ini memberi kesan buruk terhadap warga PN Timah dan Gedong yang selama ini tertutup untuk golongan terpinggir, kini roboh dan jatuh bersama-sama jatuhnya PN Timah. Keadaan ini dilihat sebagai tanda akan kekalahan golongan elit yang diketuai oleh kumpulan kapitalis dan kemenangan kepada golongan terpinggir.

“Kehancuran PN Timah adalah kehancuran agen kapitalis yang membawa berkah bagi kaum yang selama ini terpinggirkan, yakni penduduk pribumi Belitong.”
(Laskar Pelangi : 485)

Mereka, golongan terpinggir yang selama ini dilarang mengusahakan sendiri mendulang timah kerana dimonopoli oleh PN Timah, sekarang bebas melakukannya sesuka hati dan yang menderita kesan penutupan PN Timah sudah pasti kelompok elit ‘orang staf’ yang sekarang perlu belajar bagaimana untuk hidup seperti orang biasa.

Kesimpulan
Berdasarkan apa yang telah dibincangkan itu, novel ini merupakan sebuah novel yang memperkatakan tentang golongan terpinggir. Mereka yang terpinggir ialah orang Melayu di pulau Belitong yang menjadi golongan majoriti yang bekerja sebagai buruh, nelayan dan petani. Kemiskinan telah menyebabkan mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Mereka telah dinafikan hak untuk mendapat pendidikan yang baik semenjak zaman penjajah Belanda dan dilanjutkan oleh golongan kapitalis yang menguasai perlombongan bijih timah. Pelajar-pelajar seperti Lintang, Mahar, Kucai dan Suraya memperlihatkan kualiti yang baik untuk maju dan dihormati oleh golongan elit tetapi masih gagal untuk mencapai status sosial yang tinggi kerana mereka tidak terlepas daripada kongkongan kemiskinan. Mereka adalah Laskar Pelangi yang indah tetapi sekejap sahaja kewujudannya kerana keadaan menyebabkan mereka terpinggir. “Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.”

Bahan Rujukan
Andrea Hirata, 2008. Laskar Pelangi. Yogyakarta: Penerbitan Bentang.
Asrori S. Karni, 2008. Laskar Pelangi: The Phenomenon. Jakarta: PT Mizan Publika.

Foucault, Michael, 1980a. Power/Knowledge. London: The Harvester Press.

Gramsci, Antonio, 1971. Notes on Italian History dalam Selections From the Prison Notebooks. Terj. Quintin Hoare dan Geoffrey Nowell Smith. London: Lawrence & Wishart.

Guha, Ranajit, 1982. (ed.) Subaltern Studies: Writings on South asian History and Society. No. 1. Delhi : Oxford University Press.

Guha, Ranajit dan Gayatri Chakravorty Spivak, 1988a. Selected Subaltern Studies. New York: Oxford University Press.

Guha, Ranajit, 1983. Elementary Aspects of Peasant Insurgency in Colonial India. New Delhi: Oxford University Press.

Majalah Madina. Oktober, 2008. Jakarta.
Nurhady Sirimorok, 2008. Laskar Pelangi; Andrea Hirata. Pembacanya dan Modernisasi Indonesia. Yogyakarta: Insist Press.

Rita Triana Budiarti, 2008. Di Balik Layar Laskar Pelangi. Jakarta : PT Mizan Publika.

Popularity: 16% [?]

Leave a Reply

 

 

 

You can use these HTML tags

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>